Saturday 22 September 2018

Jungle Produce @ Seremban


Kerdas atau genuak iaitu nama saintifiknya ialah Archidendron bubalinum merupakan sejenis buah dari pokok Kerdas yang sering dijadikan sebagai ulam serta dimakan bersama nasi. Ianya mengeluarkan bau yang agak kuat sama seperti ulam petai atau jering. Pokok Kerdas merupakan sejenis pokok berkayu, saka dan malar hijau.

Kulit kerdas agak keras dan liat serta mempunyai saiz memanjang dan isi di dalamnya berulas-ulas. Ulas isinya agak kecil di antara (10mm-15mm) dan ianya berkulit nipis sama seperti kulit isi jering. Warna isinya bergantung kepada ketuaan buah ini jika sudah tua atau disimpan lama warnanya akan menjadi kehitaman dan jika isinya masih muda atau baru dipetik ianya bewarna kuning pucat (keputih-putihan). Daun pokok kerdas ini bertekstur nipis dan lembut daun mudanya pula bewarna ungu.

Kerdas dijadikan sebagai ulam bagi menambah selera makan. Baunya agak kuat hingga melekat pada bau nafas selepas memakan ulam ini. Kerdas ini boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya. 

sumber : Wikipedia Bahasa Melayu


Buah perah ( Elateriospermum taposmerupakan sejenis buah yang berasal dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan hujan khatulistiwa di Malaysia ini. Buah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila ianya sudah cukup tua atau matang.

Buah perah ini berbentuk lonjong dan berwarna hitam. Saiz buahnya agak kecil kira-kira (30mm hingga 40mm). Kulitnya keras, nipis dan licin manakala isinya pejal dan keras berwarna putih. Buah ini pada asalnya di dalam satu kepompong dan mengandungi 3 biji.

Buah perah yang sudah cukup tua atau matang akan gugur ke bumi, ianya akan meletup dan berderai di udara sebelum jatuh ke bumi. Faktor angin memainkan peranan yang cukup penting dalam proses pengguguran buah ini. Selain itu faktor haiwan seperti kera atau monyet juga boleh membantu proses pengguguran buah ini.

Kulitnya sangat keras dan untuk mendapatkan isinya ia perlu diketuk bagi memecahkan kulit tersebut. Isinya jika dimakan secara mentah (tanpa diproses atau dimasak) serta secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening kepala. Isinya bewarna putih dan keras sama seperti buah badam dan ianya boleh dimakan tetapi perlu dimasak atau diproses dengan betul. 

Buah ini boleh juga di buat asam rong makanan tradisional masyarakat di negeri Pahang. Bagi sesetengah penduduk mereka membuat jeruk dengan menggunakan buah perah ini. Selain itu buah ini boleh juga dimasak atau digoreng untuk hidangan sebelah petang.

Bagi masyarakat dahulu mereka suka menjerukkan buah ini dan disimpan hingga berbulan-bulan lamanya tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk. Penyimpanan di dalam tempayan atau balang besar yang diisi dengan air dan sukatan garam yang betul boleh membuatkan buah ini tahan lebih lama. Buah perah juga boleh di jeruk dengan mencampurnya dengan isi petai yang membuatkan aromanya lebih sedap.

sumber : Wikipedia Bahasa Melayu